PETALING JAYA: Malaysia dan Jepun memperkukuh kerjasama jangka panjang dalam pengurusan sisa pepejal mampan menerusi pemeteraian memorandum kerjasama bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah sistem pengurusan sisa yang lebih mampan dan cekap sumber.
Memorandum kerjasama yang akan berkuat kuasa selama lima tahun sehingga 2030 itu dimeterai ketika kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala antara Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan Menteri Negara Alam Sekitar Jepun, Azemoto Shogo di Parlimen, ibu negara, kelmarin.
Kor Ming berkata, kerjasama yang diperbaharui itu meneruskan hubungan erat Malaysia dan Jepun yang telah terjalin lebih sedekad dalam memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal negara.
Ia selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 53 peratus menjelang 2035.








