KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah melaksanakan saringan bersasar berasaskan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), termasuk pemeriksaan bagasi 100 peratus dan pemeriksaan fizikal (pat-down) terhadap penumpang antarabangsa yang menuju ke destinasi berisiko tinggi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah saringan yang dipertingkatkan itu adalah antara 17 syor untuk memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di KLIA serta pintu masuk antarabangsa negara.

Beliau berkata, langkah-langkah berkenaan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fokus semasa tertumpu kepada tindakan jangka pendek bagi tempoh enam bulan pertama bermula Ogos.