KUALA LUMPUR: Umios Corporation, antara syarikat perikanan dan makanan terbesar di dunia, berhasrat mengembangkan operasinya di Malaysia menerusi pelaburan baharu yang akan melonjakkan perniagaan dalam segmen makanan untuk manusia serta haiwan peliharaan.

Pengurus Bahagian Perniagaan Luar syarikat itu, Keisuke Enomoto, berkata Umios telah melengkapkan pengambilalihan kepentingan sebanyak 51 peratus dalam pengeluar makanan haiwan peliharaan Malaysia, Pet World International Sdn Bhd, menerusi pelaburan sebanyak 11.4 bilion yen Jepun pada September 2026.

Umios yang sebelum ini dikenali sebagai Maruha Nichiro, berpangkalan di Tokyo dan mempunyai pengalaman selama 145 tahun dalam industri perikanan.