KUALA LUMPUR: Seramai 249,000 individu yang berdepan kebankrapan sudah mendapat pelepasan menerusi Dasar Peluang Kedua dilaksanakan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dasar itu memastikan kebankrapan dilihat sebagai proses pemulihan yang membolehkan individu kembali berdikari dan menyumbang kepada ekonomi negara.

"Masalah kewangan tidak seharusnya menjadi hukuman seumur hidup. Kita mahu masalah dicegah lebih awal, pertikaian diselesaikan dengan berkesan dan mereka yang jatuh diberi peluang untuk bangkit serta kembali berkarya," katanya selepas perasmian Program "Seni, Populariti dan Survival Kewangan – Memperkasa Industri Kreatif melalui Dasar Peluang Kedua" di Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini, hari ini.