PETALING JAYA: Agenda reformasi Malaysia Madani yang mengimbangi sokongan jangka pendek dengan kemampanan jangka panjang berupaya memperkukuh daya tahan ekonomi negara, meningkatkan keyakinan pelabur serta membuka peluang pertumbuhan baharu kepada sektor perbankan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, pendekatan itu berteraskan prinsip tanggungjawab fiskal dan kemakmuran bersama, dengan tumpuan bukan sahaja kepada peningkatan daya saing negara, malah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat.
“Agenda berkenaan merangkumi usaha meningkatkan daya saing Malaysia, menarik pelaburan berkualiti, merangsang inovasi dan mempercepat peralihan kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan.










