JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes balingan bom molotov di kawasan penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, Kulai pada 13 Oktober lalu, menjadikan keseluruhan 15 individu ditahan setakat ini.Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kedua-dua suspek tempatan berusia antara 27 hingga 28 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sekitar Johor Bahru pada 20 Oktober lalu.Menurutnya, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah."Kedua-dua suspek telah dibenarkan ditahan reman sehingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Ab Rahaman berkata, kertas siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk arahan lanjut.Beliau berkata, empat suspek akan dituduh mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api atau bahan letupan dengan niat bersama.Sementara itu, ujarnya 11 lagi suspek dibebaskan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.Ab Rahman berkata, pertuduhan terhadap empat suspek terbabit dijadualkan berlangsung di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 29 Oktober ini."Polis Johor tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan jenayah yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan negeri ini."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Johor di talian 019-2792095 serta Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999," katanya.