BENTONG – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki menumbuk seorang anggota polis bantuan sehingga menyebabkan dua batang gigi mangsa patah serta merosakkan peralatan kasino di Sky Casino, Genting Highlands pada Selasa.Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintenden Azmi Mahmod, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi di tingkat tiga kasino berkenaan dan membabitkan suspek berusia 34 tahun.Menurutnya, anggota polis bantuan berusia 32 tahun yang bertugas di lokasi cuba mengawal keadaan dan menghalang tindakan suspek, namun lelaki itu bertindak agresif dengan menumbuk mulut mangsa sehingga menyebabkan dua batang giginya patah."Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Bentong," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian dan bertindak agresif terhadap orang awam sebelum memasuki kawasan kasino.Suspek turut disyaki merosakkan tiga skrin mesin judi dengan menghentakkan kepalanya ke arah mesin berkenaan selain merosakkan dua buah kerusi."Kerugian akibat kerosakan itu dianggarkan sebanyak RM85,000."Suspek turut mengalami kecederaan di bahagian dahi dan menerima enam jahitan," katanya.Menurut Azmi, suspek berjaya ditahan dan dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan lanjut.Semakan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing yang dijalankan didapati negatif dadah.Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.Beliau berkata, polis kini sedang melengkapkan siasatan termasuk merakam keterangan saksi, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mendapatkan perintah reman terhadap suspek."Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang tanpa mengira kewarganegaraan," katanya.Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.