KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) memperoleh kompleks komersial logistik di Bayan Lepas Waterfront, Pulau Pinang, daripada kumpulan Titijaya pada nilai kira-kira RM300 juta.

PHB dalam satu kenyataan berkata, aset yang siap dibina pada 2024 itu disewakan sepenuhnya kepada DHL Properties (Malaysia) Sdn Bhd, sekali gus menyediakan sumber pendapatan sewaan berterusan.

Pemerolehan berkenaan meningkatkan bahagian aset perindustrian kepada kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan portfolio hartanah pelaburan PHB, sejajar dengan strategi mempelbagaikan portfolio dan mengukuhkan daya tahan pendapatannya.

Hartanah itu dibeli daripada Aman Duta Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Titijaya Land Bhd (Titijaya).