KUALA LUMPUR: Inovasi cip semikonduktor tempatan berpotensi menjana jualan keseluruhan mencecah RM300 juta, sekali gus membuka peluang kepada Malaysia memperkukuh kedudukan dalam segmen reka bentuk dan pemilikan teknologi bernilai tinggi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pembangunan enam inovasi cip terbaharu oleh syarikat tempatan membuktikan keupayaan modal insan dan jurutera negara menghasilkan teknologi sendiri yang mampu memenuhi keperluan pasaran global.

Menurutnya, selepas lima dekad membina reputasi kukuh dalam rantaian bekalan semikonduktor global, Malaysia kini perlu beralih daripada sekadar hab pembuatan kepada negara yang turut mencipta dan memiliki teknologi sendiri.