PETALING JAYA: Saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin ‘malap’ apabila kehadiran penonton ke stadium dilihat kurang memberangsangkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai daya tarikan liga domestik dalam menarik minat penyokong terhadap perkembangan pasukan masing-masing.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, berkata situasi berkenaan berpunca daripada pelbagai faktor yang membelenggu ekosistem bola sepak tempatan, termasuk isu kontroversi yang berulang sehingga menjejaskan bahang dan keterujaan menjelang permulaan musim.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan peminat tidak lagi merasakan keterujaan untuk mengikuti perkembangan setiap pasukan, terutama apabila persiapan menjelang saingan liga tidak memperlihatkan petanda jelas bahawa setiap kelab benar-benar bersedia untuk mencabar kejuaraan.









