Kuala Lumpur: Hampir 81 peratus majikan mengakui etika kerja orang kurang upaya (OKU) setanding pekerja lain namun hanya sekitar 22 peratus daripada 1,830 majikan yang terlibat dalam kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2025 mempunyai pekerja OKU.

Jurang antara penerimaan dan pengambilan itu semakin mendapat perhatian apabila jumlah OKU berdaftar mencecah 856,169 orang sehingga Julai lalu, meningkat hampir 46 peratus berbanding 586,558 pada 2020.

Namun, isu pekerjaan OKU bukan hanya membabitkan mereka yang sedang mencari pekerjaan. Kemalangan dan penyakit juga boleh menyebabkan seseorang hilang upaya ketika masih produktif, sekali gus menjadikan pemulihan, peluang kembali bekerja dan perlindungan keselamatan sosial semakin penting.