KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan tempat letak kereta, ParkIt Malaysia, menafikan pembabitan pihaknya berhubung kutipan caj parkir sebanyak RM5 oleh individu tidak dikenali di kemudahan Park & Ride Transit Aliran Massa (MRT) Maluri, di sini.

Penafian itu dibuat susulan tular aduan pengguna media sosial meluahkan tidak puas hati berhubung tindakan individu terbabit terang-terangan meminta bayaran daripada pengguna MRT di kawasan berkenaan.

ParkIt Malaysia dalam kenyataannya berkata, individu berkenaan meminta bayaran di pintu masuk kawasan berkenaan bukanlah kakitangan atau wakil mereka.

"ParkIt tidak mengutip sebarang bayaran parkir di MRT Maluri buat masa ini dan tidak membenarkan mana-mana pihak mengutip bayaran bagi pihak kami," katanya.