LONDON: Lebih 340 kanak-kanak di Gaza terbunuh, manakala ratusan lagi cedera sejak perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas diumumkan pada 10 Oktober lalu, menurut Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Ricardo Pires, semalam.
Memetik laporan Arab News, Pires berkata, bagi keluarga yang meratapi kehilangan anak mereka, statistik mengerikan itu sama sekali tidak menggambarkan suasana gencatan senjata.
Beliau berkata demikian kepada wartawan dalam satu wawancara di Geneva.
Katanya, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan dilaporkan terbunuh, selain sekurang-kurangnya 33 kanak-kanak cedera parah dalam serangan udara, dron dan tembakan di seluruh Gaza dalam tempoh dua minggu lalu.






