JAKARTA: Penduduk Indonesia menyertai bantahan di beberapa kawasan apabila kemarahan semakin memuncak terhadap kegagalan kerajaan menangani masalah kebakaran hutan dan tanah yang disifatkan terburuk dalam tempoh lebih sedekad di negara itu.

Walaupun selepas hampir tiga bulan, kebakaran hutan di negara itu masih gagal dikawal, sehingga langit di Kalimantan kini diselubungi jerebu tepal dan asap jingga.

Penunjuk perasaan menuntut usaha memadamkan kebakaran dipertingkatkan, tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang bertanggungjawab serta perlindungan lebih baik untuk masyarakat terjejas.

Menurut data Kementerian Kesihatan yang dipetik Reuters, jumlah kes penyakit pernafasan yang dikaitkan dengan kebakaran itu meningkat mendadak kepada 283,270 kes di tujuh wilayah Indonesia setakat 13 Oktober, lebih dua kali ganda berbanding 113,336 kes yang direkodkan setakat 9 September.