Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir (empat dari kiri) bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada majlis AiSEM@SELANGOR 2026.KUALA LUMPUR: Enam cip semikonduktor baharu hasil inovasi tempatan mencerminkan kemajuan Malaysia daripada sebuah pusat pengeluaran kepada negara yang berupaya mereka bentuk, membangunkan dan memiliki teknologi sendiri, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.

Dalam ucapan sempena AiSEM@SELANGOR 2026, Akmal berkata enam inovasi itu memperlihat keupayaan untuk melangkah daripada pembuatan kepada penciptaan dan pemilikan teknologi, selepas lima dekad membina nama sebagai negara yang dipercayai dalam industri semikonduktor dunia.

"Saya dimaklumkan bahawa keenam-enam inovasi ini mempunyai anggaran potensi jualan tergabung kira-kira RM300 juta, sekali gus menonjolkan peluang komersial bagi teknologi semikonduktor buatan tempatan," katanya.