GUA MUSANG - Tiga warga tempatan bersama enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup selepas tiga kenderaan dipandu mereka berada dalam keadaaan mencurigakan serta cuba meloloskan diri selepas diekori polis di Jalan Gua Musang-Lojing pada Ahad.Operasi kira-kira jam 3 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang selepas mengesan tiga kenderaan mencurigakan dari Jalan Gua Musang-Kota Bharu menghala ke Jalan Gua Musang-Lojing.Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, ketiga-tiga warga tempatan yang memandu kenderaan berkenaan cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan selepas dikejar."Kami kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah Toyota Vios membawa enam warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia serta Myanmar."Mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Choon Foo memberitahu, polis telah menahan dua lelaki dan dua perempuan warga tempatan berusia antara 19 hingga 36 tahun yang disyaki terbabit membawa warga asing berkenaan dari Kota Bharu untuk dihantar ke Kuala Lumpur.Jelasnya, selain Toyota Vios, polis turut menyita sebuah Honda Jazz dan Mini Cooper serta lima telefon bimbit bagi membantu siasatan."Kami turut menemukan bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.45 gram di dalam salah sebuah kenderaan berkenaan."Seorang suspek disiasat secara berasingan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.Menurut beliau, kes utama disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu lain yang terlibat termasuk rangkaian penyeludupan berkenaan.