BERUAS – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sitiawan, Kampung Tengah Beruas dekat Pantai Remis, di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai R. Tavaraj berusia 73 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 1.19 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dikejarkan ke lokasi.
Katanya, kemalangan melibatkan sebuah lori 14 tan tanpa muatan dan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa.
“Pemeriksaan mendapati, terdapat seorang lelaki tersepit di dalam kereta dan telah disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.








