PUTRAJAYA: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pemborong, pengimport dan pengeksport buah-buahan dan sayur-sayuran ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penipuan berkaitan urusan pembelian dusun durian berjumlah kira-kira RM1.65 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada Februari 2024, bagaimanapun urusan pembelian dusun durian tersebut tidak berlaku.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh pagi ini di Mahkamah Shah Alam, Selangor. – UTUSAN








