PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu segera melantik presiden baharu bagi membolehkan Datuk Ab Ghani Hassan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tanpa dibebani tanggungjawab berganda.

Lebih sebulan selepas menyatakan kesediaan melepaskan jawatan Presiden MFL, Ab Ghani setakat ini masih belum berundur daripada badan pengelola liga domestik itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelewatan memuktamadkan peralihan kepimpinan berkenaan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berpandangan, kedua-dua jawatan presiden itu menuntut komitmen tinggi dan tanggungjawab besar, terutama ketika FAM memerlukan perhatian serius untuk memulihkan imej serta keyakinan terhadap pentadbirannya.