TEMERLOH: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memperluas tinjauan ke Gua Kota Gelanggi di Jerantut, dekat sini susulan kebimbangan terhadap dakwaan kegiatan ritual mistik di gua-gua negeri ini yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Tinjauan itu susulan penelitian awal di Gua Terang Bulan, Gunung Senyum di sini selepas timbul laporan tentang dakwaan amalan ritual yang dikaitkan dengan kepercayaan mistik dan dibimbangi bercanggah dengan syariat Islam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan berhubung kegiatan berkenaan di Gua Terang Bulan.

“Kegiatan tersebut sukar dikesan kerana ia dipercayai dilakukan secara berkumpulan dan hanya pada waktu tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.