Kuala Lumpur: "Kakak, kalau Mama ada salah, Mama minta maaf.

"Mama sayang kakak. Baliklah, nak. Apa pun masalah, kita boleh bincang dan perbaiki sama-sama."

Demikian rayuan meruntun hati seorang ibu, Nor Ernie Yusnitawaty Basiran, 40, kepada anak sulungnya, Nur Alya Batrisyia Che Hairolnizat, 17, supaya pulang segera ke pangkuan keluarga selepas menghilangkan diri sejak Khamis lalu.

Lebih membimbangkan, suri rumah itu berkata anak sulung daripada tujuh beradik berkenaan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) langsung tidak menghubungi keluarga, malah kali terakhir dikesan berada di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).