London: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane, bukan sahaja mencuri tumpuan apabila dinobatkan pemenang Ballon d'Or 2026, malah turut menarik perhatian ketika menghadiri majlis anugerah itu dengan menggayakan jam tangan Rolex Daytona eksklusif yang dianggarkan bernilai hampir 1 juta pound (RM5.45 juta).

Kapten England berusia 33 tahun itu antara nama besar yang menghadiri majlis berprestij di London Palladium, sebelum membawa pulang anugerah individu paling berprestij dalam bola sepak dunia.

Kane dilihat memakai Rolex Cosmograph Daytona "Blue Sapphire", model ultraeksklusif yang tidak disenaraikan dalam katalog biasa jenama mewah itu.

Diperbuat daripada emas putih 18 karat, jam tangan berukuran 40 milimeter itu dilengkapi permukaan dail obsidian dengan kilauan perak semula jadi, manakala bingkainya dihiasi 36 batu nilam biru berbentuk potongan baguette.