PUTRAJAYA: Sebanyak 4,098 kenderaan mewah termasuk milik individu kenamaan, ahli perniagaan dan pempengaruh disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi penguatkuasaan Op Luxury bermula 1 Julai tahun lalu hingga 23 Oktober lalu.

Daripada jumlah itu antara jenama kenderaan yang disita ialah Rolls-Royce, Lamborghini, Ferrari dan McLaren.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 785 kenderaan mewah disita sepanjang tahun lalu, manakala 3,313 lagi disita sehingga Jumaat tahun ini.

Beliau berkata, tindakan penyitaan diambil terhadap kenderaan yang tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), termasuk kereta mewah yang dikesan masih digunakan di jalan raya walaupun cukai jalan tamat tempoh.