IPOH: Dua wartawan wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah lori dari arah belakang di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Kledang Permai, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Bagan Datuk bagi membuat liputan program Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kereta dinaiki kedua-dua mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat susulan lampu merah sebelum dirempuh sebuah lori dari arah belakang sehingga menyebabkan kenderaan itu berpusing.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.










