Kuala Nerus: Selepas lebih setahun tidak dapat dilalui akibat hakisan, Jalan Pantai Kampung Tanjung-Mengabang Telipot, dekat sini, bakal dibuka penghujung November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Datuk Hanafiah Mat berkata, kerja baik pulih sudah mencapai kemajuan 90 peratus dan jalan berkenaan dijangka akan dibuka kepada pengguna akhir November ini.
"Kerja-kerja pembaikan kini memberi tumpuan kepada penyediaan permukaan jalan sebelum penurapan dilakukan.
"Proses baik pulih jalan yang runtuh tahun lalu itu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kemudahan itu dapat digunakan semula dengan lebih selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.










