Alor Setar: Jabatan Mufti Negeri Kedah menjelaskan pertandingan memancing di kolam berbayar boleh menjadi haram, sekiranya yuran penyertaan peserta dikumpulkan untuk dijadikan hadiah kepada pemenang.
Berdasarkan fatwa dikeluarkan pada 6 November 2023 itu, pertandingan memancing yang mengenakan bayaran kepada peserta sebelum wang berkenaan dikumpulkan untuk diberikan kepada pemenang, mengandungi unsur perjudian.
Menurut fatwa itu, perjudian atau 'maisir' dan 'qimar' merujuk permainan yang menjadikan wang atau sesuatu yang bernilai sebagai taruhan dengan peserta yang menang memperoleh ganjaran, manakala mereka yang kalah kehilangan wang dipertaruhkan.
"Dalam konteks pertandingan memancing, sekiranya sesuatu pertandingan meletakkan syarat sejumlah bayaran atau yuran tertentu kepada pemain atau peserta, lalu bayaran atau yuran itu dikumpul dan dijadikan sebagai hadiah kepada pemenang, maka bentuk pertandingan ini mengandungi unsur perjudian.






