Pembangunan Malaysia sebagai hab bahan api serantau boleh jana pendapatan antaranya pembekalan kepada kapal. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Malaysia berpotensi mewujudkan sumber pendapatan baharu dengan membangunkan industri bahan api marin dan menjadikan negara ini hab serantau bagi aktiviti pencampuran, penyimpanan serta pembekalan bahan api kapal.

Mengulas saranan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari supaya kerajaan memperluas asas hasil negara dan mengenal pasti industri strategik baharu, pemain industri R Jeyenderan berkata Malaysia mempunyai beberapa kelebihan untuk membangunkan sektor terbabit.

Katanya, ia termasuk sumber petroleum, kemudahan penyimpanan, rangkaian pelabuhan dan kedudukan strategik di laluan perdagangan utama yang boleh dimanfaatkan untuk membolehkan syarikat tempatan terlibat dalam aktiviti bernilai tambah, bukan sekadar penyedia logistik.