GEORGE TOWN – Penyelidikan universiti perlu beralih daripada pendekatan bersendirian kepada kerjasama rentas institusi bagi memastikan hasil kajian memberi impak nyata kepada pembangunan negara.Profesor Dr Abdul Latif Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, universiti perlu mengenal pasti keperluan sebenar negara dan menyelaraskan hala tuju penyelidikan berdasarkan keutamaan berkenaan, bukannya sekadar menjalankan kajian mengikut minat masing-masing.Menurutnya, kerjasama antara universiti juga penting bagi menghimpunkan kepakaran sedia ada di seluruh negara sekali gus mengelakkan pertindihan penyelidikan dan pembaziran sumber."Universiti perlu menjurus penyelidikan ke arah kepentingan negara. Jangan buat apa yang kita suka, tetapi buat apa yang diperlukan."Pada masa sama, kita tidak boleh bekerja secara silo. Kita perlu menghimpunkan semua kepakaran yang ada di Malaysia kerana lebih ramai bekerjasama, lebih besar impak yang boleh dihasilkan," katanya selepas menghadiri Siri Bicara Anugerah Merdeka 2026 Edisi Wilayah Utara di USM pada Jumaat.Program bertemakan Big Ideas, Bigger Impact: How Research Changes Lives itu menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pemimpin industri bagi membincangkan usaha menterjemahkan hasil penyelidikan kepada impak nyata menerusi pengkomersialan, pembentukan dasar negara serta kerjasama industri dan komuniti.Selain Abdul Latif, ia juga menampilkan Profesor Dr Saidatulakmal Mohd yang juga Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC) USM serta Profesor Madya Ts Dr Yanny Marliana Baba Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM.Antara perkara yang dibincangkan termasuk cabaran mendapatkan pembiayaan penyelidikan, membina kerjasama rentas sempadan serta memastikan kelestarian hasil penyelidikan dalam ekosistem penyelidikan yang semakin kompleks.Siri Bicara Anugerah Merdeka merupakan inisiatif Amanah Anugerah Merdeka (MAT) untuk menghubungkan pelajar, ahli akademik, penyelidik dan pemimpin industri selain menyemarakkan budaya kecemerlangan, kepimpinan dan inovasi dalam kalangan generasi muda.Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, pihak yang menyediakan dana penyelidikan juga perlu memainkan peranan dengan memberi keutamaan kepada projek yang memenuhi keperluan negara dan mempunyai keupayaan untuk menghasilkan impak.Katanya, kekangan peruntukan menyebabkan pemilihan projek perlu dilakukan secara strategik bagi memastikan dana yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara optimum.Dalam pada itu, beliau berpandangan, kelemahan utama dalam proses mengkomersialkan atau mengaplikasikan hasil penyelidikan universiti ialah jurang antara penemuan kajian dengan penggunaannya dalam industri dan komuniti.Justeru, beliau mencadangkan supaya satu pangkalan data bersepadu diwujudkan bagi mengenal pasti kepakaran serta hasil penyelidikan universiti, sebelum dipadankan dengan keperluan industri dan masyarakat.Menurutnya, penyelarasan antara agensi kera