Peserta yang menamatkan kursus dan memperoleh sijil boleh diberikan kepercayaan untuk menjaga warga emas sekali gus membantu keluarga yang memerlukan khidmat itu. (Gambar Freepik)PETALING JAYA: Universiti perlu memperluas kursus jangka pendek penjagaan warga emas bagi melahirkan lebih ramai penjaga terlatih menjelang Malaysia menjadi negara tua pada 2048, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Mohammad Shatar Sabran.

Beliau berkata, kursus yang disahkan dari segi kualiti itu boleh membantu anak-anak menjaga ibu bapa, selain membuka peluang kepada peserta menawarkan khidmat penjagaan secara sambilan.

“Saya di MQA apa yang telah saya pesan kepada semua universiti adalah menawarkan kursus jangka pendek untuk penjagaan warga tua dan kursus-kursus ini mempunyai verifikasi kualiti,” katanya kepada FMT.