GUA MUSANG – Orang ramai tidak perlu bimbang atau tergesa-gesa menukar sijil kelahiran lama termasuk dokumen bertulisan tangan kerana ia masih sah digunakan sehingga kini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, sijil kelahiran yang dikeluarkan sejak dahulu tidak pernah terbatal kesahihannya walaupun menggunakan format lama.

Katanya, orang ramai masih boleh menggunakan sijil kelahiran asal masing-masing tanpa perlu mendapatkan dokumen baharu semata-mata kerana perbezaan format.

“Sijil lahir tidak pernah tak sah, sama ada generasi lama ataupun generasi baharu,” katanya selepas Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-78 peringkat Kelantan di Pos Balar, di sini hari ini.