TELUK INTAN – Sebanyak 18 mesin disyaki digunakan untuk aktiviti perlombongan bitcoin dirampas polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar ini semalam dan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, serbuan tersebut dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Katanya, operasi yang dijalankan bersama juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu adalah hasil maklumat risikan berhubung kegiatan mencuri bekalan elektrik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto tersebut.