MARAN – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 59, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini pada Selasa.Dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Md Yusoff Daud, 75, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah Toyota Vellfire dipandu seorang penjual telefon berusia 41 tahun dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Sri Jaya.Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai terbabas dan memasuki laluan MPV berkenaan sebelum kedua-dua kenderaan bertembung."Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian."Pemandu Toyota Vellfire tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.Kejadian berkenaan turut mendapat perhatian ramai selepas rakaman video kemalangan itu dimuat naik dan tular di media sosial.Berdasarkan rakaman video berdurasi 15 saat yang tersebar, mangsa kelihatan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV tersebut sehingga tercampak ke atas jalan.Bagaimanapun, Wong berkata punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak polis."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-943 6741 atau hadir ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.