JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun maut selepas dipercayai dipukul bertubi-tubi menggunakan objek tumpul pada bahagian lengan, kepala dan muka dalam kejadian di Permas Jaya, di sini petang semalam.
Mangsa yang merupakan warga tempatan ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah sebelum polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Ng Swie Chait berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 4.54 petang.
Menurut beliau, suspek ditahan kira-kira sejam kemudian, iaitu pada pukul 6 petang, di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Baru Permas Jaya.






