JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu pengesahan rasmi pihak berkuasa Filipina berhubung dakwaan seorang ahli politik negara itu membiayai sewaan jet peribadi yang membawa 521 kilogram (kg) dadah disyaki syabu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah berkongsi maklumat dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) berhubung kes berkenaan.
Menurut beliau, pihak polis turut mengesan dua individu warga Filipina yang dipercayai membuat tempahan jet peribadi terbabit.
“Setakat ini, kita masih menunggu pengesahan rasmi daripada pihak Filipina sama ada sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan ahli politik di negara itu atau sebaliknya.









