KUALA PILAH – Solat bukan sekadar kewajipan kepada umat Islam, malah menjadi asas membentuk kekuatan jiwa, memelihara keimanan dan membina akhlak mulia dalam kehidupan seharian.

Perkara itu antara mesej yang ditekankan menerusi khutbah Jumaat bertajuk Membenteng Jiwa dengan Solat di Masjid Kariah Beting, Kuala Pilah, hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, beliau berkesempatan menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat di masjid berkenaan yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Juasseh.

Menurutnya, masjid memainkan peranan penting sebagai pusat ibadah dan penyatuan ummah, selain menjadi medan mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.