KUALA LUMPUR: Sebanyak 56,304 kandungan memudaratkan berunsur palsu dalam talian telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 15 Oktober tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, tindakan kawal selia dan penguatkuasaan itu dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

“Tindakan ini dilaksanakan berdasarkan penilaian terhadap aduan yang diterima, pematuhan kepada garis panduan komuniti platform serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sebanyak 19 kes telah didakwa di mahkamah dan daripada jumlah itu, 12 kes mendapat keputusan dengan jumlah denda keseluruhan RM75,500; 34 kes dikenakan kompaun berjumlah RM1.72 juta, 74 kes dikeluarkan surat amaran dan 29 kes masih dalam siasatan.