BATU PAHAT – Baru dua bulan berkenalan menerusi media sosial, seorang janda sanggup datang dari Melaka ke Batu Pahat sebelum dicekup khalwat bersama teman lelakinya yang berstatus duda di sebuah hotel, malam Isnin.Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataannya memaklumkan, pasangan berusia 30-an itu ditahan penguat kuasa dalam operasi pada kira-kira jam 11.35 malam."Ketika pemeriksaan, seorang wanita yang memakai baju kurung membuka pintu bilik selepas kira-kira lima minit diketuk penguat kuasa."Wanita itu turut menggunakan kain selendang sebagai tudung kepala sebelum penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk pemeriksaan lanjut."Bagaimanapun, pemeriksaan menemukan seorang lelaki sedang duduk di atas katil dengan memakai seluar jean biru dan baju-T dalam keadaan kelam-kabut," menurut kenyataan itu.Tambah kenyataan itu, hasil soal siasat, wanita terbabit mendakwa mereka baru bernikah di Melaka, namun belum memperoleh surat nikah kerana perkahwinan itu masih baharu."Penguat kuasa kemudian meminta pasangan itu mengemukakan surat nikah sementara, borang pernikahan atau gambar ketika akad nikah bagi mengesahkan dakwaan berkenaan."Namun wanita itu gagal memberikan jawapan meyakinkan sebelum pasangan terbabit mengaku mereka bukan suami isteri," jelasnya.JAINJ memberitahu, lelaki yang berstatus duda mendakwa bekerja sebagai peniaga di Batu Pahat, manakala wanita berkenaan merupakan penjawat awam di Melaka dan baru beberapa bulan berpisah."Wanita itu mengakui baru mengenali lelaki berkenaan menerusi media sosial sejak dua bulan lalu. Dia turut mendakwa mempunyai hasrat untuk bernikah, namun mahu mengenali lelaki itu dengan lebih rapat terlebih dahulu."Lelaki terbabit pula pada mulanya mendakwa kad pengenalannya rosak sebelum menukar alasan dengan mengatakan dokumen itu hilang."Apabila ditanya sama ada laporan polis dibuat berhubung kehilangan kad pengenalan berkenaan, lelaki itu mengakui belum berbuat demikian," katanya.Dalam perkembangan lain, penguat kuasa dimaklumkan pihak polis mahu menahan lelaki terbabit kerana dipercayai mempunyai kes lain berdasarkan maklumat yang diterima menerusi laporan polis berhubung tangkapan berkenaan.Lelaki itu kemudian dibawa ke pejabat Kadi Batu Pahat untuk soal siasat sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.Pasangan terbabit dijangka berdepan tindakan dan akan dituduh di Mahkamah Syariah atas kesalahan berkhalwat.