GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengemukakan syor kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi kenaikan pangkat kepada anggota yang terkorban di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis pada 27 Oktober lalu.Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, syor berkenaan dikemukakan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham Laskar Kanan Teknikal Maritim, Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan.Menurutnya, insiden berkenaan turut menyebabkan tiga lagi anggota Maritim Malaysia cedera."Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara, Maritim Malaysia telah mengemukakan syor kepada JPA melalui KDN bagi mempertimbangkan kenaikan pangkat secara posthumous kepada Allahyarham."Ia tertakluk kepada peraturan dan kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan," katanya.Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2026 di sini pada Selasa.Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Mohd Roshaimi maut manakala tiga lagi anggota cedera selepas bot dinaiki mereka dipercayai melanggar binaan konkrit di perairan Kuala Sungai Padang berhampiran Kuala Perlis.Ketika kejadian, mereka sedang mengejar sebuah bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin.Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, Kuala Nerang, Kedah pada jam 9.45 malam dengan istiadat pengebumian dilaksanakan Maritim Malaysia sebagai penghormatan terakhir.Mohd Rosli berkata, kejadian itu merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh warga Maritim Malaysia.Menurutnya, pengorbanan Allahyarham mengingatkan semua pihak bahawa setiap operasi penguatkuasaan mempunyai risiko tersendiri apabila anggota mempertaruhkan keselamatan dan nyawa demi melaksanakan amanah kepada negara."Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham."Pengorbanan beliau mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap operasi penguatkuasaan, terdapat anggota yang mempertaruhkan keselamatan dan nyawa demi melaksanakan amanah kepada negara," katanya.Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memberikan perhatian kepada aspek keselamatan, kebajikan dan kesiapsiagaan anggota supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih selamat dan berkesan.Katanya, usaha meningkatkan keupayaan anggota juga akan diteruskan menerusi latihan bersesuaian serta penggunaan aset keselamatan yang lebih berkesan.