PETALING JAYA – Pelakon Yusuf Bahrin mengembangkan sayap dalam bidang perniagaan apabila menceburi industri makanan dan minuman (F&B) menerusi pembukaan restoran miliknya, Bite Club.
Restoran yang mula beroperasi secara rasmi pada 7 November lalu itu mengetengahkan burger dan piza sebagai menu utama, selain menawarkan konsep ruang santai untuk pengunjung berkumpul dan meluangkan masa bersama.
Menurut Yusuf, idea membuka Bite Club tercetus daripada minatnya terhadap makanan yang menjadi pilihan ramai, khususnya burger dan piza.
“Saya melihat burger dan piza sebagai antara makanan yang dekat dengan semua orang dan menjadi pilihan ramai. Jadi, saya terfikir untuk mewujudkan sebuah tempat yang bukan sahaja menawarkan makanan, tetapi juga ruang untuk orang ramai berkumpul, berehat dan meluangkan masa bersama.









