KUALA LUMPUR: Pelaburan besar dalam sektor pusat data di Malaysia perlu memberi limpahan ekonomi kepada syarikat tempatan, khususnya pengeluar dan penyedia perkhidmatan menerusi pelaksanaan syarat kandungan tempatan sebanyak 30 peratus bagi kelulusan pelaburan baharu.
Pengarah Perkhidmatan Perniagaan dan Operasi Serantau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Noorzita Mohamad Nor berkata, langkah itu bertujuan memastikan perkembangan pesat industri pusat data turut memberi manfaat kepada ekonomi domestik.
Katanya, kebanyakan kelulusan pelaburan pusat data terkini sudah memasukkan syarat 30 peratus lokaliti atau kandungan tempatan.
"Dari 2021 hingga Jun 2025, pelaburan dalam sektor pusat data berjumlah kira-kira RM150 bilion," katanya.









