JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape berikutan risiko kesihatan, kesan terhadap alam sekitar serta potensi penyalahgunaannya bagi pengambilan dadah.

Ketua MUI Bidang Fatwa, Prof Asrorun Ni'am Sholeh, berkata ketetapan itu dibuat menerusi Fatwa MUI Nombor 131 Tahun 2026 yang diputuskan pada sidang pleno badan ulama Islam utama Indonesia itu pada Jumaat lalu.

Fatwa berkenaan turut mengharamkan pengeluaran dan penjualan vape, selain penyalahgunaan peranti itu bagi pengambilan dadah, bahan psikotropik serta bahan ketagihan lain.

Beliau berkata fatwa itu turut menggariskan 12 syor kepada pelbagai pihak, termasuk menggesa penggubalan undang-undang bagi melarang penggunaan vape serta menetapkan hukuman terhadap mereka yang melanggar larangan berkenaan.