Tumpat: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengenal pasti kekosongan asrama di beberapa sekolah bagi menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berisiko terputus hubungan akibat banjir.
Pengarah Pendidikan negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, calon SPM yang terjejas akan mula dipindahkan sebaik banjir dan pergerakan mereka ke pusat peperiksaan diuruskan dengan kenderaan yang disediakan.
Menurut Siti Norina, penempatan lebih awal itu pernah dilaksanakan tahun lalu membabitkan calon dari SMU (A) Al-Falah, Pasir Mas dan SMUA Nurul Huda, Tumpat.
"Pihak kami sudah mengumpulkan senarai kapasiti asrama yang kosong untuk tujuan penempatan kerana unjuran jumlah calon serta lokasi terlibat sudah dikenal pasti, memandangkan situasinya mungkin berbeza berbanding tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.






