Ipoh: Wartawan New Straits Times (NST) Zahratulhayat Mat Arif yang terbabit kemalangan bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur Afiradina Arshad di Jalan Ipoh-Lumut pada Ahad lalu, hari ini menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM.

Sumbangan kebajikan itu disampaikan Ketua Biro Bernama Perak Syamsiah Sahat di kediaman Zahratulhayat di Medan Klebang Harmoni di sini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Idris dan Timbalan Pengerusinya, Abdul Razak Mohd Ali.

Zahratulhayat, 37, berkata, bantuan itu amat bermakna buat beliau kerana ketika ini masih perlu menanggung kos rawatan perubatan pemulihan dan bertemu pakar psikiatri susulan kemalangan itu.