Kuala Lumpur: Kejayaan menjuarai Terbuka Perancis menjadi suntikan keyakinan buat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk kembali memperbaiki kedudukan ranking dunia dengan sasaran utama mendapatkan semula status kelompok lapan pasangan terbaik dunia.

Wei Chong berkata, kemenangan di pentas Jelajah Dunia itu memberikan motivasi tambahan buat mereka untuk mengekalkan momentum, namun mengakui konsistensi prestasi menjadi perkara paling penting menjelang tiga kejohanan seterusnya.

Menurutnya, dia dan Kai Wun yang berada di ranking kelapan dunia, tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan diraih kerana masih banyak cabaran perlu ditempuhi, terutama apabila pemain berstatus pilihan juga tidak semestinya mampu mengekalkan prestasi terbaik dalam setiap kejohanan.