Kuala Lumpur: Sokongan padu peminat tempatan menjadi pembakar semangat buat pemain golf negara, Mirabel Ting untuk bangkit mempamerkan aksi lebih baik pada pusingan kedua Kejohanan Golf Maybank LPGA 2026 di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), hari ini.

Selepas melalui pusingan pertama yang kurang memuaskan, Mirabel tampil lebih bertenaga apabila mencatatkan empat di bawah par 68 untuk mengumpul keseluruhan satu di bawah par 143.

Catatan itu meletakkannya di kedudukan ke-43 keseluruhan, sekali gus menjadi pemain negara dengan catatan terbaik pada pusingan kedua.

Mirabel berkata, kehadiran ramai peminat yang memberikan sokongan dan sorakan sepanjang permainan amat bermakna, terutama ketika dia cuba bangkit daripada prestasi kurang memberangsangkan sehari sebelumnya.