Melaka: MCA mengumumkan akan bertanding di satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 iaitu di Kota Laksamana selepas kerusi itu diserahkan semula kepada Barisan Nasional (BN) oleh Perikatan Nasional (PN).

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Melvin Chua akan dipertaruhkan sebagai calon dan keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara BN dan PN, susulan pandangan PN bahawa MCA lebih sesuai bertanding di kawasan berkenaan.

"Keputusan ini baru dibuat dan dipersetujui hari ini oleh kepimpinan tertinggi parti untuk menyerahkan semula kerusi berkenaan kepada calon MCA mewakili BN bertanding di kerusi DUN Kota Laksamana, selepas mengambil kira kesesuaiannya berdasarkan pembabitan dan khidmat beliau di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media ketika melawat Bilik Gerakan MCA DUN Bandar Hilir di Melaka Raya di sini hari ini.