Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan Program Mempelai Emas dengan memberikan sumbangan RM500 secara sekali beri, sebagai tanda penghargaan kepada pasangan pengantin yang memenuhi syarat kelayakan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif menerusi peluasan Program i-Sejahtera itu antara usaha memperkukuh kebajikan rakyat, pada masa sama mengekalkan komitmen peruntukan RM58 juta bagi keseluruhan program.

Katanya, dalam perkembangan sama kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM8 juta bagi Bantuan Kewangan Kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES).

"Buat julung kali, Tabung Pembangunan Sosial Negeri Pulau Pinang turut diperkenalkan tahun depan dengan peruntukan RM350,000 bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan sosial khususnya untuk membantu golongan rentan," katanya.