MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh menamatkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) menerusi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.Q) selama dua tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ab Rauf berkata surat rasmi pengesahan Senat UKM diserahkan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh, bersama delegasi universiti yang berkunjung ke kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini ,malam tadi.

Beliau berkata, kajiannya bertajuk Pengurusan Teknologi Digital dalam Kalangan Komuniti Kampung Tradisional: Analisis Inisiatif Kampung Digital Melaka menumpukan kepada usaha memanfaatkan teknologi digital dalam kalangan masyarakat kampung tradisional bagi mendepani arus transformasi digital.