KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap hubungan Malaysia-China akan terus diperkukuh melalui kerjasama lebih erat yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.
Menerusi hantaran di Instagram malam ini, Ahmad Zahid berkata hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1974 telah menyaksikan persahabatan antara kedua-dua negara terus berkembang, yang kini memasuki tahun ke-52.
Terdahulu, beliau menerima barisan delegasi China pada Majlis Makan Malam Persahabatan Malaysia-China di Putrajaya hari ini, yang menjadi platform untuk bertukar pandangan dan berkongsi perkembangan semasa.
Beliau berkata pertemuan itu turut memberi peluang untuk menyambung perbincangan susulan lawatan kerja rasmi beliau ke Beijing dan Tianjin baru-baru ini.








