KUALA LUMPUR: Konflik berpanjangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), selain gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz, berisiko meningkatkan tekanan inflasi di Malaysia melalui kenaikan kos tenaga, pengangkutan, baja dan input pengeluaran, walaupun harga minyak mentah global mula menurun.

Penganalisis melihat kesan konflik itu terhadap ekonomi Malaysia bukan sekadar bergantung kepada pergerakan harga minyak mentah, tetapi turut dipengaruhi gangguan rantaian bekalan yang boleh menyebabkan kos pengeluaran kekal tinggi untuk tempoh lebih lama.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata risiko utama kepada ekonomi Malaysia ketika ini bukan semestinya kelembapan pertumbuhan yang mendadak sebaliknya peningkatan inflasi ketika aktiviti ekonomi terus berkembang.